About Blog

My photo
Selamat datang dan terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Blog ini khusus kepada mereka yang baru berjinak-jinak membela kucing. Tujuan blog ini diwujudkan berdasarkan pengalaman Sempoiii yang mengalami kesulitan pada peringkat awal membela kucing kesayangan (Boboi, Apek, Memey, Siti & Kitty) dan susah mendapat panduan sehingga tertipu. Kata orang, "Orang bodoh jadi mainan orang cerdik". Blog ini cuba disusun mengikut langkah demi langkah apa yang perlu diketahui tentang kucing dan cara/teknik membelanya. Tapi sepertimana dalam entri pertama, Sempoiii dah sebut, bukanlah kewujudan blog ini menunjukkan Sempoiii seorang yang pakar tentang kucing. Hanya perkongsian demi seorang pencinta kucing. Semoga bermanfaat.

12.3.12

KELUARGA BARU

Sangat sibuk Sempoiii dengan urusan kerja & keluarga, hingga tak sempat nak menulis di blog ni. Hmm tup tup akhirnya Memey melahirkan 5 ekor anak yg comel2 dan Siti lahirkan 2 ekor anak yg juga comel2 tapi sayangnya seekor anak Siti dah mati, mungkin sbb lemas sebab Siti beranak kat atas pasir.

Sebenarnya Sempoiii tak tahu pun si Siti tu bunting sbb perut dia biasa je, jadi tak prepare apa-apa untuk dia seperti kotak atau apa-apa yang sesuai. Anak-anak kucing tu semuanya baka daripada Boboi, ramainya anak-anak Boboi ye. Semua anak Memey dan Siti belum boleh buka mata, jadi tunggu la ye.. bila diorang dah boleh 'melihat dunia', Sempoiii akan tepek gambar-gambar diorang dalam blog ni. :)

30.1.12

PENGALAMAN & PENGAJARAN

Laptop jenis Macbook Pro 13" yang telah Sempoiii beli November 2011 berharga RM3700 akhirnya rosak teruk dan langsung tak boleh digunakan lagi (waranti tak terima) setelah dikencing oleh... (sama ada oleh si Memey betina yang sedang mengandung atau si Boboi jantan yang sedang gila mengawan).

Sehingga hari ini Sempoiii tak dapat nak pastikan kucing yang mana satu punya angkara. Persoalannya ialah kenapa dikencingnya laptop tersebut (yang diletakkan dalam beg tidak berzip) sedangkan keduanya sebelum ini sentiasa membuang najis dan kencing dalam 'toilet' khusus yang disediakan (seperti gambar di bawah).

Dan setelah diberi pengamatan, ada satu jawapan yang mungkin.. mengikut teori pertama. Kemungkinan pada malam tersebut tandas mereka tidak dibuang najisnya oleh Sempoiii sehingga ruang pasir dipenuhi najis dan air kencing mereka. Dan disebabkan kucing juga agak cerewet dan penyegan, akhirnya salah seekor daripada kucing tersebut mengambil jalan mudah mencari sasaran baru, asalkan dia boleh melepaskan 'hajatnya'. Teori ini dirasakan betul bila keadaan sepertinya berlaku di depan mata, dan bila diperiksa tandas mereka dipenuhi najis dan air kencing kerana Sempoiii terlupa bersihkan.

Teori kedua pula ialah disebabkan si Boboi sedang sibuk mencari pasangan, maka dia bertindak 'menandakan' kawasannya kerana mungkin dia fikirkan beg & laptop adalah kawasan baru yang perlu 'dijajah'. Tapi teori Sempoiii yang ini kurang yakin kerana sebelumnya Boboi tidak pernah lakukan perbuatan kencing atau berak merata-rata begitu, walaupun sedang rancak musim mengawan.

Teori ketiga pula yang mana Sempoiii mengesyaki Memey yang lakukan, tetapi teori ini agak diragui kerana hanya memberi alasan Memey sedang mengandung. Sedangkan Memey tak pernah lakukan perbuatan jijik begitu sebelumnya, walaupun telah bunting selama hampir sebulan.

Apa yang Sempoiii nak ceritakan di sini bahawa kucing juga perlukan kawasan yang SELESA untuk membuang najis mereka, jika kawasan 'pembuangan' mereka sempit dan dipenuhi dengan tahi dan kencing walaupun kepunyaan mereka sendiri pun.. sehingga sukar untuk mereka pijak atau menguis, mereka akan bertindak mengabaikan tempat buangan tersebut dan seterusnya melakukan 'pembuangan terlarang' ditempat-tempat lain yang mereka rasakan selesa.

Jadi jika anda memelihara kucing secara indoor, sediakanlah 'tandas' yang selesa untuk kucing anda dan pastikan tempat pembuangan tersebut dibersihkan (buang najis dan air kencing) sekurang-kurang sekali sehari.

Hingga sekarang Sempoiii masih sedih dengan 'kehilangan' laptop tersebut.. :(

17.1.12

USIA KUCING BERBANDING MANUSIA

Tahukah anda berapa usia kucing anda sekarang? Usia kucing berbeza dengan usia manusia, biasanya secara purata usia kucing berbanding manusia ialah 1:6 bermaksud setahun usia kucing menyamai seperti manusia yang berumur 6 tahun.

Gambar atau jadual di bawah ini juga mungkin boleh dijadikan panduan kepada kita tentang perbezaan jangka hayat kucing berbanding manusia.

Jadi berhati-hati ketika membeli kucing kerana usia mereka walaupun muda pada kiraan, tetapi sebenarnya berbeza pada tingkahlaku kerana kucing jantan yang berusia seawal 7 bulan sudah mampu mengawan mencari pasangan.


29.12.11

SAYANGI KUCING & JAGA KESIHATAN

Kucing juga mendapat penyakit seperti demam dan selesema. Pada kucing, ia dipanggil selesema kucing. Tapi pada anjing ia dipanggil kennel cough dan parainfluenza. Setiap satunya berpunca daripada bakteria atau virus yang berlainan. Sekerap mana kucing anda perlu diperiksa kesihatannya? Jawapannya mudah, sekiranya kucing anda tidak mempunyai masalah kesihatan serius, biasanya ia boleh dibawa ke klinik haiwan satu atau dua bulan sekali sahaja.

Tetapi jika sakit yang serius, ianya mungkin perlukan rawatan harian atau mingguan. Klinik haiwan kesayangan biasanya mempunyai tempat untuk meletakkan haiwan mereka sepanjang rawatan jika diperlukan. Seperti yang Sempoiii infokan sebelum ini, kucing juga seperti seorang bayi, ia memerlukan suntikan khas pada peringkat usia mereka yang dipanggil suntikan vaksin.

Jika dikira daripada konteks kucing, memberikan 'apa saja' makanan kepada haiwan peliharaan adalah cara yang tidak benar sama sekali. Jika kita memberi kucing makan nasi, ia sama seperti kita memberi lembu makan ikan dan daging sedangkan itu bukan makanan mereka. Kucing adalah tergolong haiwan karnivor, jadi ia memerlukan daging dan ikan (sumber protein, kalsium dan fosforus), bukannya nasi iaitu sumber karbohidrat.

Setiap binatang mempunyai perbezaan tersendiri dan tidak boleh disamakan. Susu juga sering disalahertikan kepentingannya pada kucing. Susu yang diminum oleh manusia ialah susu lembu yang sudah diproses atau disterilkan. Ia boleh diberi minum cuma jangan dalam kuantiti yang banyak dan kerap kerana boleh menyebabkan kucing anda cirit-birit. Adalah tidak digalakkan pemberian susu kepada kucing kecuali jika terpaksa seperti dalam kes anak kucing yang kehilangan ibu. Anda dicadangkan untuk membeli susu gantian khas untuk kucing yang ada dijual di'kedai haiwan peliharaan atau klinik haiwan.

Ada juga pemilik yang memberikan ubat demam manusia kepada kucing tanpa bertanya kepada doktor veterinar terlebih dulu, semata-mata untuk menjimatkan kos ke klinik veterinar. Perbuatan ini boleh menyebabkan keracunan pada kucing kerana hati kucing tidak mempunyai enzim yang boleh mencernakan ubat itu, jadi ia boleh menyebabkannya berkumpul dalam sistem badan dan merosakkan hati kucing. Jika lambat dirawat atau kerap diberikan ubat demam terbabit, kucing boleh mati akibat keracunan.

Ramai di'kalangan kita yang sayangkan kucing dan suka memelihara kucing (termasuk Sempoiii la), tetapi tidak tahu cara pemeliharaan yang betul. Harus diingat, memelihara kucing adalah untuk seumur hidup mereka. Apabila anda membuat keputusan untuk memelihara seekor atau lebih haiwan, maka fikirkan bahawa ia sentiasa memerlukan perhatian anda, tidak kira sama ada ia adalah kucing, anjing, lembu, kambing, ikan, kuda dan haiwan2 peliharaan lain. Anda tidak boleh memelihara kucing, kemudian bila rasa tidak menyukainya atau bosan, maka anda mengabaikannya. Ia adalah makhluk yang bernyawa dan tidak boleh dilayan seperti objek. Sayangilah kucing anda dan jalankan tanggungjawab sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang sempurna dan berperikemanusiaan.

Harus diingat bahawa ada sesetengah penyakit kucing yang boleh berjangkit kepada manusia. Lazimnya, ia lebih mudah berjangkit kepada mereka yang lemah tahap keimunan badan seperti kanak-kanak, bayi, orang tua, ibu mengandung dan pesakit Aids. Contohnya, penyakit Toxoplasmosis pada kucing boleh menjangkiti manusia jika kita termakan makanan yang tercemar dengan najis kucing yang dijangkiti atau melalui tangan kita yang tersentuh najisnya. Toxoplasmosis boleh menyebabkan keguguran pada seseorang wanita mengandung.

Oleh itu, penting untuk kita membasuh tangan sebersih-bersihnya selepas kita menyentuh haiwan apa sekalipun. Bagi mereka yang berpenyakit lelah, bulu kucing biasanya mempunyai habuk dan sel mati yang boleh menyumbang kepada serangan lelah itu sendiri. Tetapi penyakit selesema dan batuk kucing tidak boleh menyebabkan selesema dan batuk kepada manusia.

Ada lagi satu penyakit kulit yang disebabkan oleh fungus yang juga boleh menjangkiti manusia iaitu Sporotrichosis pada kucing. Sila buat rawatan segera sekiranya kucing anda mengalami masalah kurap kemerahan yang berair dan anda juga mengalami simptom yang sama.